Saturday, April 18, 2009

Ziarah

KAMI menyusuri sempadan Jordan-Israel dalam perjalanan pulang dari Aqaba ke Amman. Tidak banyak kenderaan menggunakan jalan itu kecuali penduduk tempatan dan mereka yang ingin ke Israel kerana ada beberapa pintu masuk di sepanjang jalan itu.
Walaupun kedua-dua negara sudah menandatangani perjanjian damai pada 1994, Jordan masih lagi menempatkan beberapa pos tentera di kawasan sempadannya dengan negara Yahudi itu.
Kami singgah di Ghor Safi, sebuah perkampungan di selatan Laut Mati untuk menziarah gua tempat Nabi Lut bersembunyi ketika Allah menurunkan bala dengan menenggelamkan kaumnya yang ingkar perintah supaya menjauhi amalan homoseksual (liwat).
Nabi Lut sudah memberi amaran kepada kaumnya bahawa Allah akan menurunkan bala jika mereka masih mengamalkan perbuatan keji itu, tetapi mereka tetap ingkar. Allah kemudian menghantar dua malaikat untuk memerintahkan Nabi Lut supaya berpindah dari situ dan selepas baginda serta anak perempuannya bersembunyi di gua berkenaan, Allah menenggelamkan semua kaumnya, tanpa tinggal seorang pun.
Dari Ghor Safi, kami menyusuri Laut Mati yang terletak kira-kira 400 meter di bawah paras laut sejauh kira-kira 25 kilometer. Air lautnya tujuh kali lebih masin daripada garam dan kaya dengan kandungan magnesium,sodium, kalsium, bromide dan potassium.
Oleh kerana air lautnya mempunyai banyak kelebihan, termasuk mengubati pelbagai jenis penyakit kulit, ramai pengunjung mandi di situ. Apa yang menarik, kita tidak akan tenggelam ketika mandi di laut berkenaan, sebaliknya terapung sepanjang masa.
Selain airnya, lumpur hitam yang ditemui di pantai laut berkenaan juga mempunyai banyak khasiat untuk kulit dan ia kini sudah dikomersilkan sebagai bahan untuk rawatan kulit muka bagi wanita.
Kelebihan ini juga menyebabkan banyak pusat peranginan dibina di sini, termasuk di pekan Zarqa Main yang mana terdapat kolam air panas dan air terjun panas yang dapat mengubati pelbagai penyakit kulit dan lenguh-lenguh badan.
Pemandangan di sekitar Laut Mati yang dikelilingi bukit batu memang unik dan menarik. Wadi al-Mujib, kawasan lembah bergunung yang terletak berhampiran turut menjadi tumpuan pelancong yang ingin mencari kedamaian.
Perjalanan dari Laut Mati ke Amman melalui Lembah Jordan yang subur dan kaya dengan hasil pertanian. Kawasan ini mendapat sumber air dari Sungai
Jordan, malah kawasan lembah ini sebenarnya luas sehingga merentas sempadan Israel dan Palestin.
Pokok buah-buahan seperti limau, epal, pistachios, pisang dan tembikai hidup subur di kawasan ini. Sayur-sayuran seperti timun, kentang, terung dan tomato pula ditanam dalam rumah panas iaitu sistem pertanian moden dalam kawasan bertutup yang lengkap dengan kemudahan saliran.
Mungkin disebabkan kesuburan kawasan inilah, kawasan lembah di sekitar Sungai Jordan dikaitkan dengan Taman Eden (Garden of Eden) yang ada disebut dalam beberapa kitab suci, termasuk Injil.
Kepenatan sepanjang perjalanan tidak menghalang kami daripada terus meneroka kota Amman pada waktu malam. Boleh dikatakan hampir tiada langsung pusat hiburan eroperasi sepanjang Ramadan, kecuali yang terletak di kawasan eksklusif.
Selepas menunaikan solat sunat tarawih di Masjid Hussein, kami menuju kawasan peranginan eksklusif di luar kota yang dikenali sebagai Ken Zaman.
Ia terletak di atas sebuah bukit di kelilingi kawasan perumahan elit dan padang golf.
Sambil menikmati narghilleh (ogah) berperasa strawberry, kami dihiburkan dengan petikan gambus dan lagu merdu. Sungguh mengasyikkan dan mungkin kerana itulah ramai bangsawan dan orang kaya Arab berkunjung ke situ. Rata-rata warga kota Amman ramah orangnya, tidak kira yang beragama Islam atau Kristian. Bagaimanapun, sikap buruk sebahagian mereka jelas kelihatan apabila memandu, sama juga seperti rakyat Malaysia yang mudah hilang sabar.

Amman (12/12/2000)

No comments:

Post a Comment