Saturday, April 18, 2009

Aniaya

PAKAR perubatan yang merawat mangsa kekejaman tentera Israel di Hospital Jordan di sini, mendakwa tentera rejim Yahudi itu sengaja menembak penduduk Palestin pada dada, perut dan kaki bagi melumpuhkan mereka.
Dr Ali Ghazalla berkata, dalam kebanyakkan kes yang dirujuk ke wad khas hospital itu, mangsa mengalami kecederaan serius pada bahagian berkenaan, termasuk pinggang hingga ada yang lumpuh seumur hidup.
"Tentera Israel sebenarnya menggunakan peluru hidup ketika berhadapan dengan penduduk Palestin yang menyertai gerakan intifada. Matlamat mereka bukan untuk membunuh, tetapi melumpuhkan mangsa.
"Jika menggunakan peluru getah sekalipun, sasaran mereka ialah mata bagi memastikan mangsa hilang keupayaan melihat," katanya ketika ditemui di hospital berkenaan.
Dr Ali adalah antara 12 doktor pakar dan 28 kakitangan Pasukan Perubatan Iraq yang berkhidmat secara sukarela di wad khas itu bagi merawat mangsa kekejaman tentera Israel.
Beliau berkata, tentera Israel juga memilih remaja sebagai sasaran kerana kumpulan inilah yang aktif dan sering terbabit dalam tunjuk perasaan serta gerakan intifada.
"Dengan melumpuhkan mangsa, ia meninggalkan kesan lebih mendalam berbanding jika mangsa itu mati. Lagipun, kes membabitkan kecederaan tidak mendapat perhatian ramai berbanding kematian.
"Ini adalah strategi tentera Israel supaya mereka tidak dilihat sebagai terlalu kejam," katanya, yang sudah merawat lebih 50 mangsa yang mengalami kecederaan di dada, perut dan kaki sejak awal Ramadan lalu.
Sementara itu, seorang mangsa yang dirawat di wad berkenaan, Mohammad Bassam Izeldeen, 15, dari Ramallah berkata dia ditembak pada kaki oleh tentera Israel ketika pulang dari masjid selepas solat Asar pada hari pertama puasa.
Ketika itu, sekumpulan penduduk Palestin melontar batu ke arah tentera Israel dan Mohammad Bassam sedang bergegas untuk pulang berbuka puasa di rumahnya.
"Tiba-tiba saya dikelilingi kira-kira 40 tentera Israel dan seorang daripada mereka menembak kaki kanan saya tanpa sebarang sebab. Mereka menyangka saya juga terbabit dalam gerakan intifada itu," katanya.
Berikutan kejadian itu, Mohammad Bassam mengalami kecederaan parah iaitu remuk tulang kaki kanannya dari lutut hingga buku lali dan terpaksa dipasangkan besi bagi membolehkannya berjalan semula.
Seorang lagi mangsa, Alaa Abdul-Razak, 14, mengalami kecederaan serius pada bahagian perut dan dada selepas ditembak oleh tentera Israel ketika duduk di depan pintu rumahnya di Al-Muntar, Gaza, pada 8 Disember lalu.
"Saya tidak menyangka tentera Israel akan menembak kerana saya tidak terbabit dalam gerakan intifada pada hari itu. Tindakan itu sungguh kejam dan tidak berperikemanusiaan langsung," katanya.
Alaa berkata, kebanyakan tentera Israel sebenarnya menggunakan peluru hidup ketika berhadapan dengan gerakan intifada, walaupun mereka sering mendakwa menggunakan peluru getah.
Rakannya, Mahmood Bashir, 15, cedera di bahagian perut tetapi keadaannya lebih parah sehingga terpaksa dibedah kerana satu daripada buah pinggangnya rosak akibat terkena peluru.
Ketika itu, dia bersama dalam gerakan intifada, ditembak tentera Israel ketika cuba berlindung di sebalik tembok selepas kumpulan tentera melemparkan gas pemedih mata.
"Kami baru mula berkumpul untuk merancang tindakan selanjutnya apabila sekumpulan tentera Israel tiba-tiba menyerang sehingga kami tidak sempat berlindung.
"Dalam serangan itu, seorang anggota kumpulan kami terbunuh, beberapa yang lain mengalami kecederaan tetapi tidak begitu serius," katanya.
Sementara itu, Pengarah Pasukan Perubatan Iraq, Dr Hazim Anwar berkata, mereka adalah kumpulan perubatan ketiga dari Iraq yang berkhidmat sukarela di hospital .
"Kami sebenarnya bercadang untuk ke Palestin bagi menawarkan khidmat secara sukarela merawat penduduk Palestin yang cedera akibat kekejaman tentera Israel.
"Bagaimanapun, hasrat kami tidak kesampaian kerana pihak berkuasa Israel enggan memberi kebenaran dan menutup semua pintu masuk ke Palestin, kecuali bagi mereka yang mempunyai permit khas," katanya.
Pengarah operasi wad khas itu yang juga Pakar Perunding Bedah Hospital Jordan, Dr Abdulla Albashir berkata, tempat itu disediakan oleh hospital berkenaan bagi merawat rakyat Palestin yang tercedera dalam intifada.
"Ia mula diwujudkan sejak gerakan Intifada al-Aqsa bermula pada akhir September lalu. Sehingga kini, lebih 140 mangsa yang mengalami kecederaan sudah mendapat rawatan di sini.

Amman (20/12/2000)

Keharuan

SUASANA dalam khemah berhampiran rumah setingkat di pinggir kota Amman itu agak sayu ketika kami tiba pada jam 7.30 malam. Hanya bacaan al-Quran kedengaran dari corong radio yang diletakkan di balik tabir.
Sekumpulan 50 lelaki yang duduk di atas bangku menghadap antara satu sama lain, bangun menyambut kedatangan saya dan lima ahli Majlis Kebangsaan Palestin (PNC), diketuai Muhamad Ali Araz.
Kami kemudian dihidangkan secangkir kopi pahit sebagai tanda selamat datang.
Tujuan kami ke situ ialah untuk menziarahi keluarga seorang pemuda Palestin yang terbunuh akibat kekejaman tentera Israel di Ramallah, Palestin.
Khalid Walid Ahmad, 25, meninggal dunia Sabtu lalu selepas parah di kepala akibat ditembak dari jarak dekat oleh tentera rejim Yahudi di Dier Tarif, Ramallah sehari sebelumnya.
Kejadian berlaku ketika dia memandu pulang ke rumah apabila ditahan sekumpulan tentera Israel yang kemudian menembaknya. Tentera Israel berkenaan ketika itu bertempur dengan gerakan intifada.
"Memang sudah jadi kelaziman masyarakat Palestin, keluarga syuhada akan mengadakan rumah terbuka bagi menerima kunjungan orang ramai untuk mengucapkan takziah berikutan kematian itu," kata Muhamad.
Ketika berucap pada majlis berkenaan, beliau mengingatkan mengenai pengorbanan rakyat Palestin mempertahankan tanah air mereka, selain memberi semangat kepada generasi muda supaya meneruskan perjuangan itu.
Rombongan PNC yang turut disertai seorang paderi Katolik, Father Qamish, kemudian menyampaikan sumbangan wang kepada abang Khalid, Jamil Kamleh Ahmad, untuk diserahkan kepada ibu bapanya yang tinggal di Ramallah.
Jamil, 39, yang menganjurkan majlis itu berkata, Khalid yang sepatutnya melangsungkan perkahwinan bulan depan adalah seorang yang bersemangat kental dan berani.
"Dia adalah harapan keluarga kerana ibu dan bapa kami sudah terlalu uzur untuk bekerja. Mungkin kerana dia sering terbabit dalam gerakan intifada, dia menjadi sasaran tentera Israel," katanya.
Khalid adalah antara lapan rakyat Palestin yang menjadi mangsa kekejaman tentera Israel Jumaat lalu. Seorang lagi mangsa yang meninggal dunia pada Sabtu ialah Mohammed Fahad Abdel-Ghani Ma'ali di Tebing Barat.
Muhamad berkata, hampir setiap hari pihaknya menziarahi keluarga syuhada yang terbunuh dalam gerakan intifada kerana kebanyakan pelarian Palestin di sini mempunyai ahli keluarga di tanah air mereka.
Ketika ini ada kira-kira dua juta pelarian Palestin tinggal di beberapa kem pelarian di seluruh Jordan, termasuk kem terbesar iaitu di Baka'a, kira-kira 15 kilometer dari Amman.
Duta Palestin ke Jordan, Omar Khatib berkata, sebahagian besar kem pelarian berkenaan berada dalam keadaan tidak memuaskan berikutan kekurangan peruntukan.
"Keadaan ini berlaku kerana Agensi Bantuan dan Kebajikan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) yang menguruskan semua kem pelarian terpaksa menghentikan bantuan disebabkan masalah politik," katanya ketika ditemui.
Beliau berkata, masalah pelarian itu bagaimanapun tidak begitu serius jika dibandingkan dengan apa yang dihadapi penduduk Palestin yang hiduptertekan akibat kekejaman tentera Israel.
Katanya, penduduk Palestin kini bukan saja mengharapkan sokongan moral daripada masyarakat antarabangsa khususnya negara Islam, malah mereka memerlukan bantuan dalam bentuk kewangan, barangan makanan dan perubatan.
"Kami berharap masyarakat antarabangsa, terutama di kalangan negara Islam dapat menyalurkan bantuan, terutama dalam bentuk ubat-ubatan dan peralatan perubatan bagi membantu rakyat Palestin.
"Pada masa ini, kami mendapat bantuan dari sebahagian besar negara-negara Arab, Eropah dan Asia. Bagaimanapun, ia masih belum mencukupi kerana keadaan di Palestin kini bertambah buruk," katanya.
Omar berkata, sejak gerakan intifada al-Aqsa bermula 28 September lalu, kira-kira 250,000 rakyat Palestin terpaksa menganggur kerana tentera Israel menghalang mereka daripada pergi bekerja.
Secara keseluruhan, ekonomi Palestin terjejas teruk kerana banyak kilang terpaksa ditutup atau dirosakkan oleh tentera rejim Yahudi yang mahu melumpuhkan ekonomi Palestin.
Beliau berharap negara Islam dapat bersama mendesak kerajaan Israel supaya menghentikan penindasan terhadap penduduk Palestin dan memulakan semula rundingan damai yang terhenti berikutan peletakan jawatan Perdana Menterinya, Ehud Barak baru-baru ini.

Amman (19/12/2000)

Abu Samir

WALAUPUN sudah 42 tahun meninggalkan bumi Palestin, Abu Samir masih tetap mengikuti setiap perkembangan di sana. Malah, daripada percakapannya, dia seolah-olah baru pulang dari tanah tumpah darahnya itu.
Azamnya untuk pulang semula ke Palestin tidak pernah terkubur, malah dia yakin dapat menjejak semula kakinya di bumi yang ditinggalkan ketika berusia 14 tahun itu, sebelum meninggal dunia.Ketika kami menemuinya di Kem Pelarian Wavell (gambar) dekat Ba'albek di wilayah Beqa'a, Lubnan kelmarin, dia kelihatan uzur tetapi cukup bersemangat ketika menceritakan perjuangan rakyat Palestin mempertahankan negara mereka.
"Kami mahu hidup bebas dan aman. Semua itu hanya boleh diperoleh di tanah air sendiri. Sampai bila kami akan jadi pelarian kerana setiap orang mempunyai negaranya sendiri," katanya sambil menunjukkan kad pengenalan pelarian yang dikeluarkan oleh Kerajaan Lubnan.
Bagaimanapun, Abu Samir atau nama sebenarnya Moustapha Hassan Kassab, 66, mempunyai pendirian sendiri mengenai konsep bernegara iaitu dia sanggup berkongsi negara dengan siapa saja, termasuk orang Israel asalkan mereka diberikan hak yang sama.
Katanya, ini termasuk hak untuk pulang ke negara asal mereka seperti diperoleh orang Yahudi di seluruh dunia yang boleh kembali dan menetap di Israel jika mereka mahu.
"Kami tidak kira nama apa yang diberikan kepada negara itu sama ada Palestin atau Israel kerana yang penting kami dibenarkan pulang dan mendapat hak sama rata, bukan dihalau keluar dan tanah serta harta benda dirampas," katanya.
Beliau berkata, jika orang Palestin dapat hidup bersama dan berkongsi semangat serta perjuangan tanpa mengira mereka Islam atau Kristian, tidak ada sebab orang Yahudi tidak boleh berbuat demikian.
Abu Samir adalah antara 352,660 pelarian Palestin yang berdaftar di kem pelarian di seluruh Lubnan. Jumlah itu diperoleh berdasarkan bancian terakhir yang dijalankan Agensi Bantuan dan Kebajikan Bangsa-bangsa Bersatu (UNRWA) pada 1996.
Bagaimanapun, jika diambil kira jumlah mereka yang berhijrah ke negara lain dan penurunan kadar pertumbuhan penduduk dari 5.5 peratus pada 1980 kepada 3.8 pada 1996, rakyat Palestin di Lubnan kini dianggarkan kira-kira 300,000 orang.
Selain Kem Pelarian Sidon di selatan Lubnan yang mempunyai 75,000 penduduk, beberapa kem besar lain ialah Nahr el Bared dan Beddawi di utara Lubnan yang masing-masing mempunyai 30,000 dan 18,000 penduduk, manakala kem Burj el Barajneh di Beirut mempunyai 18,000 penduduk.
Kem Wavell pula mempunyai kira-kira 4,500 penduduk, Bir Ilyas, Tha'abiya dan Saad Nayl juga dalam wilayah Beqa'a menempatkan 8,000 orang dan Mar Ilyas dekat Beirut seramai 7,000 orang.
Di wilayah selatan, kem Burj el Shemali menempatkan 20,000 pelarian, al Jaya dan Wadi al Zeenah (15,000), Rashidieh (13,000), Jabal al Bahr, Kufr Badat, al Aythaniyeh, al Wasatah dan Birghaliyeh (10,000).
Mengenai kemudahan asas di kem pelarian di Lubnan, pada keseluruhan semuanya mendapat bekalan air dan api. Cuma beberapa kem tertentu bekalan berkenaan dicatu oleh pihak berkuasa tempatan.
Ketika kami mengunjungi kem Waveel, bekalan air di situ sudah lima hari terputus, manakala bekalan elektrik pula hanya dibekalkan 12 jam sehari iaitu mulai jam 4 petang hingga 4 pagi.
"Perkara ini sudah berlarutan sejak beberapa tahun lalu dan ini secara tidak langsung menjejaskan kegiatan di dalam kem, termasuk sekolah dan kegiatan perniagaan," kata Pengerusi Persatuan Penduduk Palestin Wavell, Mahmoud Wakid.
Bagi kemudahan tempat tinggal pula, di kebanyakan kem pelarian pihak UNRWA sudah membina rumah bertingkat bagi menggantikan pondok atau khemah, tetapi jumlahnya belum mencukupi menyebabkan masih ada pelarian tinggal di dalam pondok usang.
Malah di kem Shatila dekat Beirut, pelarian terpaksa tinggal di kawasan pembuangan sampah berhampiran kerana rumah disediakan tidak mencukupi.
Keadaan bertambah buruk berikutan tindakan Kerajaan Lubnan baru-baru ini menyekat kemasukan bahan binaan di beberapa kem pelarian, menyebabkan pembinaan rumah terbengkalai. Kerajaan Lubnan mengambil langkah itu berikutan ada kes pelarian didapati membina rumah di kawasan tanah kerajaan di luar kem.
Secara keseluruhan, penempatan pelarian tidak tersusun kerana selain rumah dibina UNRWA, penduduk Palestin yang mampu turut membina atau membesarkan rumah mereka tanpa mengikut peraturan.
Kebanyakan jalan, terutama dalam kawasan kem pelarian juga tidak dijaga Sehingga berlopak. Ini kerana kerajaan hanya menyediakan jalan pada peringkat awal saja, manakala kerja pemuliharaan terserah kepada penduduk.
Mengenai keadaan sosial, kesukaran mendapat pekerjaan dan taraf pendidikan rendah menyebabkan ramai generasi muda terpaksa menganggur dan hanya berkeliaran di dalam kawasan kem saja.
Bagaimanapun, kadar jenayah agak rendah jika dibandingkan di luar, mungkin disebabkan kebanyakan anak Palestin dididik dari awal lagi supaya mempertahankan hak mereka, khususnya keluarga masing-masing.
Kadar kemiskinan di kalangan pelarian agak tinggi kerana sebahagian besar adalah mangsa perang yang kehilangan sama ada ketua keluarga atau anak lelaki yang dibunuh oleh tentera Israel, warga tua dan yang cacat anggota.
Hakikatnya, warga Palestin di seluruh Lubnan rata-rata tidak mahu lagi jadi pelarian dan ingin pulang ke tanah air mereka. Bagaimanapun, merekatidak banyak pilihan kecuali terpaksa terus menghadapi semua itu jika mahu hidup.

Beirut (18/12/2000)

Tekanan

"KAMI hidup dalam keadaan tertekan. Tidak dibenarkan bekerja dalam bi dang-bidang tertentu di luar kem pelarian sehingga menyebabkan anak kami putus asa dan enggan meneruskan pelajaran."
Itulah kekecewaan yang diluahkan kebanyakan keluarga Palestin yang kami temui di beberapa kem pelarian di Lubnan, termasuk di Shatila dekat Beirut, Sidon di selatan Lubnan dan Wavell di Ba'albek dalam wilayah Beqa'a.
Walaupun boleh tinggal di Lubnan, pelarian Palestin tidak dibenarkan bekerja dalam 60 bidang, terutama membabitkan perkhidmatan penting, seperti kedoktoran, kejuruteraan, undang-undang dan pendidikan tinggi.
Mereka hanya dibenar menawarkan khidmat berkenaan dalam kawasan kem,khusus untuk masyarakat Palestin. Jika pelarian terbabit didapati bekerja di luar, mereka dan majikan masing-masing akan dikenakan tindakan tegas.
Bagaimanapun, Kerajaan Lubnan membenarkan pelarian Palestin ini bekerja sebagai buruh kasar, termasuk dalam projek pembinaan dan pembersihan kawasan, kerja yang memang ditolak oleh rakyat Lubnan.
"Ada juga anak pelarian yang bekerja dalam bidang yang dilarang secara haram di luar, tetapi risikonya tinggi," kata Nayef Maarouf ketika ditemui di Kem Pelarian Sidon.
Nayef adalah satu-satunya jurutera Palestin yang dibenarkan bekerja di luar, itupun kerana beliau mendapat didikan di Mesir sebelum tahun 80-an dan tidak tinggal di dalam kem pelarian.
Beliau berkata, anak pelarian Palestin memang boleh bekerja di dalam kem, tetapi gaji yang diperoleh biasanya tidak memuaskan kerana perkhidmatan mereka lebih bersifat sukarela.
Pengerusi Persatuan Penduduk Palestin Wavell, Mahmoud Wakid, 55, pula berkata masalah utama yang dihadapi pelarian Palestin di Lubnan ialah pekerjaan kerana tanpa kerja tetap, amat sukar bagi mereka untuk menyara kehidupan keluarga.
Oleh itu, katanya, ramai di kalangan generasi muda yang mempunyai kelulusan terpaksa berhijrah ke negara lain untuk bekerja, khususnya di negara Arab lain seperti Jordan, Arab Saudi, Mesir dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE).
"Pasaran kerja bagi anak Palestin bukan di Lubnan, tetapi di negara lain. Sebab itulah selepas menamatkan pengajian mereka berhijrah ke luar negara untuk bekerja.
"Dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini saja, hampir 2,000 warga Palestin di Wavell sudah berhijrah ke negara lain," katanya ketika ditemui di kem berkenaan kelmarin.
Bagaimanapun, bagi Moi'n Othman, 27, yang tinggal di kem Wavell sejak dilahirkan, beliau secara sembunyi bekerja sebagai guru matematik di sebuah sekolah swasta di pekan Ba'albek.
"Selagi tidak dikesan oleh Kerajaan Lubnan, tidak ada masalah bagi saya mengajar di situ. Lagipun sekolah berkenaan dikendalikan pihak swastatanpa campur tangan kerajaan," katanya.
Beliau berkata, seorang daripada sepupunya yang mendapat pendidikan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) di Kuala Lumpur, kini turut bekerja secara haram di sebuah syarikat di Beirut.
Kemudahan pendidikan di kem pelarian Palestin di Lubnan pada keseluruhannya masih jauh daripada memuaskan, walaupun pada masa ini ada 77 sekolah sudah diwujudkan di lebih 50 kem pelarian di seluruh negara itu.
Menurut Mahmoud, di kem pelarian yang mempunyai penduduk lebih 5,000 orang, dua peringkat sekolah disediakan iaitu sekolah rendah dan menengah rendah, manakala di kem yang lebih kecil hanya ada sekolah rendah.
"Kebanyakan sekolah ini dikendalikan oleh Agensi Bantuan dan Kebajikan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) dengan sokongan persatuan penduduk dan dijalankan dalam dua sesi, iaitu pagi dan petang.
"Bagaimanapun, disebabkan kemudahan yang tidak mencukupi, kami sering menghadapi masalah kekurangan kelas dan guru. Bagi mengatasinya, kami terpaksa mengambil guru sambilan yang berkhidmat secara sukarela," katanya.
Beliau berkata, jika sebelum ini kemudahan pendidikan diberikan secara percuma kepada anak-anak pelarian, disebabkan kos pengurusan semakin meningkat dan UNRWA sendiri tidak mampu menambah peruntukan, pelajar kini dikenakan yuran.
Beikutan itu, katanya, ada keluarga yang tidak mampu terpaksa memberhentikan anak-anak mereka, sekali gus meningkatkan lagi kadar buta huruf di kalangan pelarian Palestin.
Mahmoud berkata, kajian Pejabat Statistik dan Sumber Asli Pusat Palestin dengan kerjasama UNRWA mendapati hanya 48 peratus pelarian Palestin di Lubnan yang celik huruf, termasuk 4.2 peratus mempunyai kelulusan universiti.
Selain sekolah rendah dan menengah rendah, UNRWA juga turut menyediakan taman bimbingan kanak-kanak di setiap kem. Bagaimanapun, jumlahnya setakat ini masih jauh daripada mencukupi.
Dalam bidang kesihatan, hampir setiap kem pelarian mempunyai klinik yang dikendalikan oleh UNRWA dengan kerjasama Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin, Pertubuhan Bulan Sabit Merah Lubnan dan penduduk tempatan.
Selain itu, dua buah hospital juga sudah didirikan oleh Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin iaitu Hospital Aka di Beirut dan sebuah lagi di Sidon, untuk mengendalikan kes-kes serius.
Mahmoud berkata, kebanyakan doktor dan jururawatnya adalah di kalangan warga Palestin sendiri, selain doktor sukarela dari beberapa negara Timur Tengah, Eropah, Asia dan badan-badan kebajikan.
"Pelarian Palestin tidak mempunyai pilihan untuk mendapatkan rawatan perubatan kerana klinik dan hospital milik kerajaan tidak menerima mereka. Bagi mereka yang mampu bolehlah merujuk kepada klinik dan hospital swasta," katanya.
Seperti juga bidang pendidikan, jika dahulu rawatan perubatan diberikan percuma kepada pelarian, mereka kini terpaksa membayar sejumlah wang yang kecil kepada pihak hospital berikutan masalah kekurangan sumber kewangan.

Beirut (17/12/2000)

Sasaran

SEORANG penyair Palestin, Shawqi Baghdadi, pernah menulis yang antara lain menyebut: "Aku sering mengingati kanak-kanak sebagai malaikat yang mati dan burung yang tercedera. Tuhan sudah pasti bersedih."
Sememangnya kesedihan terhadap nasib kanak-kanak Palestin semakin dirasakan. Masa depan, hak untuk terus hidup, kebebasan dan keselamatan mereka dinafikan hanya kerana mereka lahir sebagai anak Palestin.
Sejak intifada mempertahankan kesucian Masjid al-Aqsa meletus pada 28 September lalu, lebih 100 kanak-kanak Palestin terbunuh dan 4,116 lagi tercedera akibat kekejaman tentera Israel.
Antara mereka yang malang ialah Mohammed Jamal al-Durreh, 12; Sara Abdel Atheem Hassan, 18 bulan; Samer Tabanja, 12; Mohammad Jaber Radi, 10; Mohammad Yousef Abu 'Assi, 13; Mohammad Jawdi, 11; Sami Abu Jazar, 9; Tha'er Mahmoud Ali, 13; Ala' Bassam Bani Nimre, 12; Mohammad Najjar, 12; Wa'el al-Nasheet, 13 dan ramai lagi.
Mereka ini terbunuh sama ada ketika berlaku intifada, bermain di belakang rumah, dalam perjalanan pergi dan pulang dari sekolah, manakala tidak kurang juga kerana dinafikan kemudahan perubatan selepas mengalami kecederaan.
Sebenarnya, kanak-kanak ini bukan sengaja dibawa ke tempat berlakunya keganasan, tetapi keganasan itu sendiri datang ke tempat mereka dan berlaku di depan mata mereka.
Memang sukar untuk memastikan keselamatan kanak-kanak apabila senjata api, bom tangan, kereta kebal dan helikopter berada hampir dengan tempat mereka bermain, bersekolah dan rumah.
Hakikatnya, kanak-kanak ini bukan saja terperangkap dalam pertempuran, malah tidak kurang juga yang memang dijadikan sasaran. Ia mungkin bertujuan menyemarakkan lagi kebencian, sekali gus membakar semangat untuk terus menentang musuh mereka.
Contohnya, dalam kes kematian Mohammed Jamal al-Durreh, dia ditembak oleh tentera Israel di depan mata bapanya sendiri ketika berlindung di sebalik tembok simen selepas terperangkap dalam kejadian tembak-menembak antara tentera rejim Yahudi itu dengan polis Palestin.
Walaupun anak dan ayah itu mengangkat tangan sambil menjerit meminta pertolongan, tentera Israel terus menembaknya tanpa belas ihsan. Bapa Mohammad Jamal cuba melindungi beliau dengan tangan dan badannya, tetapi tidak berjaya apabila kaki anaknya terkena tembakan.
Sebelum kejadian berkenaan, kedua-dua beranak itu pergi ke kedai kereta kerana bercadang hendak membeli kereta. Apabila gagal memilih kereta yang sesuai, kedua-duanya memutuskan untuk pulang dengan menaiki teksi.
Bagaimanapun, ketika sampai ke satu persimpangan, mereka terperangkap dalam kejadian tembak-menembak. Oleh kerana teksi itu enggan meneruskan perjalanan, kedua-dua mereka keluar dan berjalan pulang.
Oleh kerana pertempuran semakin sengit, kedua-duanya cuba berlindung di sebalik tembok simen dan ketika inilah Mohammed Jamal ditembak kaki kanannya. Beliau bagaimanapun meninggal dunia ketika dirawat di hospital berhampiran.
Kes kanak-kanak menjadi mangsa pertempuran bukan baru, malah menurut Laporan Unicef 1995, ketika intifada pertama berlaku dari 1988 hingga 1994, lebih 2,000 rakyat Palestin terbunuh dan satu pertiga daripadanya adalah kanak-kanak.
Laporan itu juga menyebut, 90 peratus daripada kanak-kanak berkenaan terdedah kepada gas pemedih mata, 55 peratus melihat sendiri bagaimana ayah atau abangnya dipukul, 40 peratus menjadi mangsa dera dan 19 peratus mengalami kecederan.
Kini ramai kanak-kanak Palestin yang cedera dirawat di beberapa hospital di Jordan, Lubnan dan negara jiran lain, manakala kanak-kanak yang menjadi yatim piatu diambil sebagai anak angkat oleh golongan yang mampu.
Bagaimanapun, ada beratus-ratus lagi kanak-kanak Palestin yang cedera di Ramallah, Nablus dan kawasan yang diduduki Israel tidak mendapat kemudahan perubatan sewajarnya, manakala anak yatim hidup dalam keadaan terbiar.
Kita berharap rakyat Malaysia yang hidup dalam keadaan serba mencukupi dapat membantu kanak-kanak ini supaya mereka juga dapat menikmati kehidupan seperti kanak-kanak lain.

Amman (15/12/2000)

Calon

RAKYAT asing mungkin tidak mengenali Ahmad Tibi (gambar), tetapi di kalangan penduduk Palestin dan masyarakat Arab di rantau ini, namanya kini menjadi sebutan apabila Ahad lalu, beliau mengumumkan akan bertanding jawatan Perdana Menteri Israel.Pengumumannya itu dibuat sebaik saja Ehud Barak mengemukakan surat peletakan jawatannya dan kemudian dicalonkan semula oleh Parti Buruh untuk merebut jawatan itu dalam pilihan raya yang akan diadakan dalam tempoh 60 hari.
Ahmad Tibi yang memimpin Pergerakan Arab bagi Pembaharuan berkata, beliau memutuskan untuk bertanding jawatan berkenaan bagi mengukuhkan kedudukan politik rakannya selain melindungi hak dan kepentingan masyarakat Arab.
Walaupun menyedari sukar baginya merebut jawatan berkenaan, beliau berkata, pencalonan itu dibuat bagi mencabar dasar Israel yang berat sebelah terhadap golongan minoriti Arab yang mewakili 20 peratus daripada lima juta penduduk Israel.
"Dasar berat sebelah ini terbukti berikutan pembunuhan 13 orang Arab Israel sejak Intifada al-Aqsa meletus pada 28 September lalu. Sehingga kini lebih 320 orang terbunuh dan sebahagian besarnya adalah rakyat Palestin," kata bekas penasihat pemimpin Palestin, Yasser Arafat, itu ketika ditemui kelmarin.
Beliau yang juga Ahli Knesset mewakili kalangan Arab Israel berkata, pencalonannya juga adalah untuk memberi pilihan kepada mereka yang menolak atau tidak mahu mengundi Barak, Benjamin Netanyahu dan Ariel Sharon.
Netanyahu, bekas Perdana Menteri sebelum Barak sudah mengumumkan Ahad lalu akan bertanding dalam pilihan raya berkenaan, manakala Sharon yang mengetuai Parti Likud dikatakan turut akan dicalonkan.
Bagaimanapun, peletakan jawatan Barak itu sebenarnya satu tamparan kepada usaha damai kerana semua perbincangan ke arah itu akan dihentikan sehingga pilihan raya selesai.
Pelbagai pihak juga bimbang Barak yang terus menerajui Israel sehingga pilihan raya diadakan, akan meningkatkan keganasan terhadap penduduk Palestin bagi menambat hati rakyat Israel supaya menyokongnya, walaupun Barak sendiri berjanji akan memastikan perjanjian damai dapat dicapai sebelum pilihan raya.
Hakikatnya, pandangan umum dunia Arab pada masa ini ialah sama ada Barak atau Netanyahu dan parti Buruh atau Likud yang dipilih, ia tidak memberi kesan positif terhadap usaha perdamaian dengan Palestin.
Ini kerana, mereka melihat tindakan Barak dan parti Buruh sebelum ini tidak ada bezanya dengan kerajaan Likud sebelum itu dalam menangani kepentingan penduduk Palestin dan Arab, termasuk tindakan mereka meluaskan lagi kawasan penempatan Yahudi di kawasan yang diduduki sejak 1967.
Tentera Israel terus merampas tanah rakyat Palestin, melaksanakan langkah 'keselamatan' seperti menahan rakyat Palestin, menutup kawasan tertentu yang diperintah oleh Palestin, selain melakukan tindak balas tentera yang keras terhadap penentangan dan kebangkitan rakyat Palestin.
Pemerhati politik berpendapat, jika ada perbezaan antara parti Buruh dan Likud sekalipun, ia hanya membabitkan caranya saja dan bukan dasar yang boleh memberi kesan terhadap usaha mencari perdamaian.
Mengenai suruhanjaya penyiasat mengenai keganasan terhadap rakyat Palestin yang dipimpin oleh Amerika Syarikat, dunia Arab nampaknya agak sangsi suruhanjaya itu dapat menghasilkan satu laporan yang objektif bagaimana krisis berkenaan boleh meletup 11 minggu lalu dan apakah cadangannya untuk memastikan pertumpahan darah tidak berulang.
Kebanyakannya menganggap ia hanya bertujuan melindungi rejim Yahudi itu daripada dituduh sebagai pencetus keganasan kerana ketua suruhanjaya berkenaan yang juga bekas Senator Amerika, George Mitchell, sebelum ini didakwa paling banyak memperkenalkan resolusi untuk melindungi Israel daripada sebarang sekatan antarabangsa.
Apa yang jelas, dalam fikiran kebanyakan masyarakat Arab ialah dasar 'double-standard' Amerika dan Kesatuan Eropah (EU), yang mana rakyatnya menganggotai jawatankuasa lima anggota yang ditubuhkan ketika sidang damai di Sharm El Sheikh, Mesir, pada pertengahan Oktober lalu.
Mereka melihat bagaimana Amerika dan EU begitu bersungguh-sungguh ketika mempertahankan Kosovo tahun lalu, tetapi tidak menunjukkan sebarang minat langsung untuk melindungi rakyat Palestin daripada tindakan kejam Israel sejak keganasan bermula berikutan intifada antara 1989 hingga 1993.
Oleh itu, suruhanjaya penyiasat mempunyai tugas berat bukan saja untuk mencari punca berlakunya keganasan itu, malah membuktikan kepada masyarakat Arab bahawa apa yang mereka fikirkan itu adalah tidak benar.

Amman (14/12/2000)

Pelarian

YOUSSEF tidak pernah bermimpi untuk ke sekolah. Malah sejak kecil lagi dia tidak didedahkan dengan alam persekolahan oleh ibu bapanya. Apa yang sering dilihatnya ialah anggota tentera, kereta kebal dan sekali sekala kejadian rusuhan dan tembak menembak.
Baginya, dunia adalah tempat yang penuh dengan kekacauan, kekejaman dan kematian. Dia sendiri pernah melihat bagaimana mayat rakan ayahnya yang hampir hancur terkena bom yang meletup berhampiran kampungnya di Aboud, Ramallah.
Bagaimanapun, selepas berhijrah ke Perkampungan Pelarian Baka'a kira-kira 15 kilometer dari Amman, Jordan, dua tahun lalu, kehidupan Youssef Akkawi, 13, sudah berubah. Dia kini boleh bersekolah dan bermain seperti kanak-kanak lain.
Youssef adalah antara ribuan anak Palestin yang terpaksa meninggalkan kampung halaman mereka bersama keluarga masing-masing untuk mencari kehidupan baru dan mengelak daripada menjadi mangsa kekejaman tentera Israel.
Walaupun sudah tiga tahun meninggalkan kampung yang sering dilanda huru-hara itu, jiwanya masih tertekan dan dia kelihatan takut apabila kami cuba menghampirinya ketika bermain dengan rakan-rakannya.
Malah menurut ibunya, Salma, 36, Youssef agak pendiam dan jarang bercakap walaupun dengan keluarganya. Dia juga sering mengalami ketakutan, mungkin teringatkan peristiwa pahit yang pernah dilaluinya sebelum ini.
Masalah psycho-sosial sebenarnya bukan asing lagi di kalangan kanak-kanak Palestin, terutama mereka yang tinggal di kawasan yang sering berlaku kekacauan, peperangan dan rusuhan.
Perkara ini diakui sendiri oleh seorang sukarelawan Persekutuan Menyelamatkan Kanak-kanak (SCF) di Palestin, Ali Shaar, ketika ditemui di Amman, selepas menghadiri Persidangan Serantau Mengenai Penjagaan dan Perkembangan Awal Kanak-kanak, kelmarin.
Katanya, tanda-tanda psycho-sosial seperti kencing malam, sentiasa dalam tidak selesa dan kurang tidur banyak dialami oleh kanak-kanak Palestin yang terperangkap dalam kekacauan di beberapa wilayah yang diduduki Israel.
"Kanak-kanak ini yang terdedah secara mengejut dengan keganasan dan pertumpahan darah bukan saja menjadi mangsa, malah meninggalkan kesan yang berpanjangan dalam kehidupan dan amalan seharian mereka," katanya.
Selain itu, beliau berkata sejak meletusnya intifada, kebanyakan kanak-kanak Palestin juga tidak lagi ke sekolah kerana banyak kawasan yang ditutup dan ada di antara sekolah berkenaan digunakan tentera Israel sebagai markas mereka.
"Jika pelajar berkenaan sampai ke sekolah sekalipun, ada kejadian di mana tentera rejim Zionis itu melepaskan gas beracun di dalam kelas atau meletakkan bahan letupan di tempat pelajar berkumpul bagi menakutkan mereka," katanya.
Sehubungan itu, Shaar yang mengakui pernah merawat ramai penduduk Palestin yang tercedera akibat diserang tentera Israel, berharap pihak tertentu dapat melaksanakan satu kajian mengenai kesan psycho-sosial akibat keganasan ini terhadap kanak-kanak Palestin.
"Walaupun SCF mempunyai program kesihatannya sendiri untuk kanak-kanak berkenaan, penganiayaan terhadap kanak-kanak Palestin sekarang memerlukan usaha bersepadu membabitkan semua pihak, khususnya yang berkaitan dengan kesihatan," katanya.
Apa yang jelas, nasib Youssef tidak semalang Ahmad Qawasmeh yang meninggal dunia Isnin lalu akibat kecederaan di kepala selepas ditembak tentera Israel di Hebron, Jumaat lalu.
Qawasmeh yang juga berusia 13 tahun, ditolak hingga terlentang oleh tentera Israel sebelum ditembak. Sejak intifada mempertahankan Masjid al-Aqsa meletus 11 minggu lalu, lebih 320 orang penduduk Palestin sudah terkorban dan sebahagian daripada mereka adalah kanak-kanak.
Mengenai Perkampungan Pelarian Palestin di Baqa'a, kawasan itu pada asalnya diduduki secara haram oleh pelarian berkenaan tanpa sebarang kemudahan asas seperti air, api atau sekolah.
Bagaimanapun, Kerajaan Jordan kemudian mengambil keputusan membina rumah dan menyediakan pelbagai kemudahan asas bagi memastikan pelarian berkenaan dapat tinggal dengan lebih selesa.
Ketika kami mengunjungi perkampungan berkenaan kelmarin, ia tidak banyak bezanya dengan kampung-kampung lain di Jordan. Stesen bas dan teksinya sentiasa sibuk kerana ramai penduduk Palestin di situ bekerja di Amman.
Menurut Yasser Rabbo, pelarian Palestin yang sudah tinggal di perkampungan itu sejak 10 tahun lalu, kebanyakan daripada penduduk di situ bekerja sebagai tukang kayu, buruh binaan dan pekerja kimpalan, sama ada di perkampungan berkenaan atau di Amman.
"Walaupun jauh dari tanah kelahiran, jiwa dan semangat kami sentiasa bersama saudara dan rakan-rakan kami di Palestin. Perjuangan kami masih belum selesai dan kami akan pulang dan berjuang bersama mereka," katanya.

Amman (13/12/2000)