Saturday, April 18, 2009

Makam

KETIKA kali pertama menjejak kaki di bumi Jordan, Rabu lalu, kami terharu kerana tidak menyangka dapat berkunjung ke negara yang dikenali sebagai bumi anbia dan pejuang Islam.
Sesuai dengan panggilannya, Jordan yang dulunya dikenali sebagai Syam, buminya memiliki sejarah unik hasil pertembungan pengaruh Kristian dan Islam, selain budaya Timur dan Barat.
Ia pernah dijajah empayar Rom, sebelum dirampas semula oleh penguasa Ottoman. Ini terbukti berdasarkan tinggalan sejarahnya seperti istana penguasa Rom di Petra dan Umm Qais, selain kampung dan makam sahabat Rasulullah serta ramai pejuang Islam.
Sejak tiba di Amman empat hari lalu, kami sempat mengunjungi beberapa tempat bersejarah termasuk Makam Nabi Syuib, nabi yang diturunkan untuk kaum Madian yang dikaitkan dengan kes-kes penipuan timbangan.
Kelmarin, kami menziarahi beberapa makam sahabat Rasullullah dan pejuang Islam, termasuk Muaz bin Jabbar dan anaknya Abdulrahman bin Muaz, Amir Abu Waqqas, Dirar bin Auzr, Shurhabil Hushnah dan Abu Ubaidah, dan di sini kami sempat menunaikan solat Jumaat.
Kebanyakan makam berkenaan kini sedang dalam pembinaan semula, membabitkan bangunan masjid dan tapak makam.
Shurhabil adalah seorang pejuang Islam, penulis wahyu serta terbabit membuka al-Quds (Palestin) dan Jordan bersama panglima perang Islam di zaman Rasulullah, Khalid al-Walid. Dirar dan Abu Ubaidah pula adalah pejuang Islam yang gugur ketika menentang tentera Rom dalam Perang Yarmuk.
Menurut penjaga makam Muaz dan anaknya, Abdurrahman di Kampung Shounah, sepanjang Ramadan memang ramai umat Islam, sama ada dari dalam atau luar negara, yang menziarahi makam sabahat Rasulullah dan pejuang Islam ini.
Mengenai sambutan Ramadan, umat Islam di sini kali ini menunaikan ibadah puasa dalam cuaca agak sejuk. Disebabkan bulan puasa tahun ini jatuh pada awal musim sejuk, waktu berbuka lebih awal iaitu pada 4.37 petang, manakala imsak 4.30 pagi.
Ketika melalui kawasan pedalaman selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Abu Ubaidah kelmarin, satu perkara yang menarik perhatian kami ialah ramai lelaki dan kanak-kanak duduk berkumpul di depan rumah, walaupun jam ketika itu kira-kira 12 tengah hari. Cuaca agak sejuk dan cuti umum menyebabkan mereka lebih gemar menghabiskan masa di luar rumah.
Di kiri kanan jalan pula kelihatan peniaga menjual buah-buahan dan sayur segar dengan harga agak murah. Selonggok limau yang mengandungi kira-kira 50 biji dijual dengan harga 1 dinar (RM5.40).
Bagaimanapun, dalam kesibukan umat Islam di Jordan menunaikan ibadah sempena Ramadan, umat Islam di negara jirannya iaitu Palestin terpaksa berhadapan dengan ancaman maut oleh rejim Yahudi. Sejak September lalu, lebih 320 orang terbunuh dan sebahagian besarnya adalah rakyat Palestin.
Kelmarin saja, enam orang, termasuk empat anggota polis Palestin terbunuh dalam pertempuran dengan tentera Israel. Malah, seorang daripada mangsa adalah remaja berumur 16 tahun.
Di Baitulmaqdis Timur yang terletak Masjid al-Aqsa dan Masjid Omar (Kubah Batu), pertempuran berlaku sebaik sahaja umat Islam selesai menunaikan solat Jumaat. Lontaran batu oleh penduduk Palestin dibalas dengan tembakan peluru hidup oleh tentera Israel.
Berikutan pertempuran terbaru di beberapa kawasan tertentu, termasuk Ramallah, Gaza dan Baitulmaqdis Timur itu, pejabat-pejabat kerajaan banyak yang tutup sehingga sukar bagi rakyat asing untuk mendapatkan kebenaran mengunjungi negara itu.
Begitulah nasib rakyat Palestin, tidak pernah menikmati suasana aman dan tenteram walaupun dalam bulan suci Ramadan. Semoga mereka terus cekal untuk meneruskan hidup yang penuh cabaran ini.

Amman (09/12/2000)

No comments:

Post a Comment