Saturday, April 18, 2009

Pelarian

YOUSSEF tidak pernah bermimpi untuk ke sekolah. Malah sejak kecil lagi dia tidak didedahkan dengan alam persekolahan oleh ibu bapanya. Apa yang sering dilihatnya ialah anggota tentera, kereta kebal dan sekali sekala kejadian rusuhan dan tembak menembak.
Baginya, dunia adalah tempat yang penuh dengan kekacauan, kekejaman dan kematian. Dia sendiri pernah melihat bagaimana mayat rakan ayahnya yang hampir hancur terkena bom yang meletup berhampiran kampungnya di Aboud, Ramallah.
Bagaimanapun, selepas berhijrah ke Perkampungan Pelarian Baka'a kira-kira 15 kilometer dari Amman, Jordan, dua tahun lalu, kehidupan Youssef Akkawi, 13, sudah berubah. Dia kini boleh bersekolah dan bermain seperti kanak-kanak lain.
Youssef adalah antara ribuan anak Palestin yang terpaksa meninggalkan kampung halaman mereka bersama keluarga masing-masing untuk mencari kehidupan baru dan mengelak daripada menjadi mangsa kekejaman tentera Israel.
Walaupun sudah tiga tahun meninggalkan kampung yang sering dilanda huru-hara itu, jiwanya masih tertekan dan dia kelihatan takut apabila kami cuba menghampirinya ketika bermain dengan rakan-rakannya.
Malah menurut ibunya, Salma, 36, Youssef agak pendiam dan jarang bercakap walaupun dengan keluarganya. Dia juga sering mengalami ketakutan, mungkin teringatkan peristiwa pahit yang pernah dilaluinya sebelum ini.
Masalah psycho-sosial sebenarnya bukan asing lagi di kalangan kanak-kanak Palestin, terutama mereka yang tinggal di kawasan yang sering berlaku kekacauan, peperangan dan rusuhan.
Perkara ini diakui sendiri oleh seorang sukarelawan Persekutuan Menyelamatkan Kanak-kanak (SCF) di Palestin, Ali Shaar, ketika ditemui di Amman, selepas menghadiri Persidangan Serantau Mengenai Penjagaan dan Perkembangan Awal Kanak-kanak, kelmarin.
Katanya, tanda-tanda psycho-sosial seperti kencing malam, sentiasa dalam tidak selesa dan kurang tidur banyak dialami oleh kanak-kanak Palestin yang terperangkap dalam kekacauan di beberapa wilayah yang diduduki Israel.
"Kanak-kanak ini yang terdedah secara mengejut dengan keganasan dan pertumpahan darah bukan saja menjadi mangsa, malah meninggalkan kesan yang berpanjangan dalam kehidupan dan amalan seharian mereka," katanya.
Selain itu, beliau berkata sejak meletusnya intifada, kebanyakan kanak-kanak Palestin juga tidak lagi ke sekolah kerana banyak kawasan yang ditutup dan ada di antara sekolah berkenaan digunakan tentera Israel sebagai markas mereka.
"Jika pelajar berkenaan sampai ke sekolah sekalipun, ada kejadian di mana tentera rejim Zionis itu melepaskan gas beracun di dalam kelas atau meletakkan bahan letupan di tempat pelajar berkumpul bagi menakutkan mereka," katanya.
Sehubungan itu, Shaar yang mengakui pernah merawat ramai penduduk Palestin yang tercedera akibat diserang tentera Israel, berharap pihak tertentu dapat melaksanakan satu kajian mengenai kesan psycho-sosial akibat keganasan ini terhadap kanak-kanak Palestin.
"Walaupun SCF mempunyai program kesihatannya sendiri untuk kanak-kanak berkenaan, penganiayaan terhadap kanak-kanak Palestin sekarang memerlukan usaha bersepadu membabitkan semua pihak, khususnya yang berkaitan dengan kesihatan," katanya.
Apa yang jelas, nasib Youssef tidak semalang Ahmad Qawasmeh yang meninggal dunia Isnin lalu akibat kecederaan di kepala selepas ditembak tentera Israel di Hebron, Jumaat lalu.
Qawasmeh yang juga berusia 13 tahun, ditolak hingga terlentang oleh tentera Israel sebelum ditembak. Sejak intifada mempertahankan Masjid al-Aqsa meletus 11 minggu lalu, lebih 320 orang penduduk Palestin sudah terkorban dan sebahagian daripada mereka adalah kanak-kanak.
Mengenai Perkampungan Pelarian Palestin di Baqa'a, kawasan itu pada asalnya diduduki secara haram oleh pelarian berkenaan tanpa sebarang kemudahan asas seperti air, api atau sekolah.
Bagaimanapun, Kerajaan Jordan kemudian mengambil keputusan membina rumah dan menyediakan pelbagai kemudahan asas bagi memastikan pelarian berkenaan dapat tinggal dengan lebih selesa.
Ketika kami mengunjungi perkampungan berkenaan kelmarin, ia tidak banyak bezanya dengan kampung-kampung lain di Jordan. Stesen bas dan teksinya sentiasa sibuk kerana ramai penduduk Palestin di situ bekerja di Amman.
Menurut Yasser Rabbo, pelarian Palestin yang sudah tinggal di perkampungan itu sejak 10 tahun lalu, kebanyakan daripada penduduk di situ bekerja sebagai tukang kayu, buruh binaan dan pekerja kimpalan, sama ada di perkampungan berkenaan atau di Amman.
"Walaupun jauh dari tanah kelahiran, jiwa dan semangat kami sentiasa bersama saudara dan rakan-rakan kami di Palestin. Perjuangan kami masih belum selesai dan kami akan pulang dan berjuang bersama mereka," katanya.

Amman (13/12/2000)

No comments:

Post a Comment