Bagaimanapun, kebosanan itu agak terubat apabila mendengar kaset lagu yang didendangkan Diana Haddad dan Kadem el Saher, dua penyanyi Arab yang cukup popular pada masa ini.
Oleh kerana berpuasa, kami tidak banyak berhenti kecuali untuk mengisi minyak dan melawat beberapa tempat bersejarah dan makam pejuang Islam serta sahabat Rasulullah, termasuk kawasan di mana berlakunya Perang Mu'tah di Kerak, Makam Zeid Al-Harithah dan Ja'far Abi Talib di Mazar.
Selain tempat bersejarah dan makam berkenaan, Kerak juga terkenal dengan istananya yang dibina oleh Raja Baldwin I pada 1232 bagi melindungi kawasan di antara Aqaba dan Baitulmaqdis daripada serangan puak Arab.
Malah, bandar Kerak yang ada sekarang dibina di atas tapak ibu kota purba kerajaan Moab yang dikenali sebagai Charach Muba.
Kami kemudian singgah di bandar purba Petra atau dikenali sebagai Wadi Musa oleh masyarakat Arab pada kira-kira jam 12 tengah hari. Bandar purba di tengah-tengah bukit batu ini terkenal dengan keunikannya termasuk binaan kota di dalam bukit yang dipercayai dibina sejak zaman besi lagi.
Bagaimanapun, kewujudan Petra hanya dikesan selepas bandar purba itu ditakluki oleh puak Nabataean pada kurun keempat sebelum masihi (SM).Nabataean adalah masyarakat nomad yang berasal dari Semenanjung Arab yang kemudiannya muncul sebagai sebuah kerajaan berpengaruh.
Petra kemudiannya jatuh ke tangan empayar Rom pada kurun pertama masihi dan kegemilangannya semakin pudar apabila muncul beberapa pusat tamadun baru di Gerasa dan Palmyra.
Keunikan bandar purba Petra inilah yang membuatkan Harrisson Ford memilihnya sebagai lokasi penggambaran filem `Indiana Jones: Temple of The Doom'. Malah, banyak lagi penerbit filem Hollywood yang mengambil kawasan ini sebagai lokasi pembikinan filem mereka.
Walaupun hanya dua jam berada di Petra, kami sempat mengunjungi telaga Mata Air Musa dan mengambil wudhu di situ sebelum menunaikan solat Zuhur.
Selain itu, kami juga dapat melihat dari jauh Makam Nabi Harun yang terletak di puncak Gunung Hor, dalam kawasan bandar purba Petra.
Oleh kerana kedudukan makam itu di puncak gunung, tidak ramai dapat menziarahinya, cukup sekadar melihat dari jauh.Dari Petra, kami meneruskan perjalanan ke Wadi Rum, kawasan lembah bergurun yang terkenal dengan keindahan semulajadinya, terutama ketika matahari terbenam. Untuk sampai ke situ, kami terpaksa menyewa jip kerana kawasan padang pasir berkenaan tidak sesuai untuk kereta biasa.
Malangnya, kami sampai di sana kira-kira jam 4.45 petang, beberapa minit selepas matahari terbenam. Bagaimanapun, kami sempat berbuka puasa di tengah-tengah gurun berkenaan bersama pemandu jip yang ramah, Abdallah Ubaydah.
Satu lagi keistimewaan Wadi Rum ialah masyarakat Badwi yang menjadi penghuninya. Kebanyakan mereka adalah pengembala kambing dan tinggal di bawah khemah di tengah padang pasir. Pemuda Badwi pula terkenal dengan kelasakan mereka dan tidak hairanlah jika sebahagian besar anggota Tentera Padang Pasir adalah orang Badwi.
Dari Wadi Rum kami menuju Aqaba, bandar pelabuhan paling Selatan berhadapan dengan Laut Merah dan berjirankan bandar Eilat di Israel.
Pengaruh Israel memang jelas di Aqaba, malah sejak Jordan dan rejim Yahudi itu menandatangani perjanjian damai pada 1994, ramai remaja Jordan berulang alik ke Eilat.
Tarikan untuk ke Eilat memang kuat kerana bandar Yahudi itu menawarkan pelbagai hiburan yang tidak ada di Aqaba atau bandar-bandar lain di Jordan. Malah, Eilat sendiri mempunyai slogan tersendiri iaitu `Good boys go to heaven, bad boys go to Eilat' (Budak baik pergi ke syurga, budak jahat pergi ke Eilat).
Mengenai Ramadan di Jordan, apa yang dapat dilihat ialah orang Arab memang kuat makan. Roti menjadi pilihan utama dan biasanya mereka membeli hingga tiga atau empat kilogram seorang.
Amman (11/12/2000)
No comments:
Post a Comment