KEDUDUKAN Jordan yang terletak di antara Makkah, Madinah dan Baitulmadis, menyebabkan ia menjadi tumpuan dan laluan penting perkembangan Islam. Di sini juga, ada banyak kesan sejarah yang berkait rapat dengan Islam.
Oleh kerana beberapa peperangan antara tentera Islam dengan Byzantine, seperti Perang Mu'tah, Yarmouk dan Fahl, berlaku di wilayah Jordan, tidak hairan jika banyak makam sahabat dan pejuang Islam boleh ditemui di sini.
Perang Mu'tah berlaku di Kerak dengan tentera Islam dari Madinah dipimpin oleh Zeid al-Harithah dan Ja'far Abi Talib. Ketika Perang Yarmouk di Irbid, tentera Islam diketuai oleh Khalid al-Walid dan Abu Ubaydah al-Jarrah, manakala dalam Perang Fahl di Pella dekat utara Ghor, tentera Islam turut dipimpin oleh Khalid.
Dalam perjalanan ke Aqaba semalam, kami sempat mengunjungi makam Ja'far, sepupu Rasulullah yang juga antara orang pertama memeluk Islam. Makamnya terletak di pekan Mazar, Kerak, kira-kira 50 kilometer dari Amman.
Ja'far adalah abang kepada Saidina Ali Abi Talib dan beliau dihantar oleh Rasulullah untuk bersama Zeid mengetuai tentera Islam dalam Perang Mu'tah, sekembalinya daripada menakluki Khaybar.
Bagaimanapun, beliau mati syahid dalam peperangan itu ketika berusia 41 tahun dengan kedua-dua belah tangannya dipenggal musuh kerana ketika itu Ja'far memegang panji-panji Islam.
Menurut riwayat, tidak lama selepas kematiannya, Rasulullah bermimpi melihat Ja'far duduk bersama syuhada-syuhada lain di syurga yang paling tinggi dengan tangannya yang putus diganti dengan kepak. Berikutan itu, beliau dikenali sebagai Ja'far al-Tayar atau `Ja'far yang bersayap.'
Sebuah lagi makam pejuang dalam kompleks makam yang sama ialah makam Zeid atau nama sebenarnya Abu Usama Zeid Ibn al-Harithah. Beliau adalah sahabat Rasulullah yang pertama memeluk Islam, selepas Saidina Ali.
Zeid diculik dari keluarganya ketika masih kecil untuk dijual sebagai hamba dan Rasulullah membelinya di Makkah sebelum membebaskannya. Beliau kemudian diambil oleh Rasulullah sebagai anak angkat.
Beliau dilantik menjadi ketua komander tentera Islam ketika Perang Mu'tah dan terbunuh dalam peperangan itu ketika berusia 45 tahun. Jika tidak, Zeid dikatakan calon utama menjadi khalifah pertama selepas Rasulullah.
Sebenarnya, banyak lagi tempat sejarah yang berkaitan Islam boleh ditemui di Jordan, tetapi disebabkan kebanyakan tempat berkenaan tidak diketengahkan, ramai pelancong Islam yang berkunjung ke negara ini tidak tahu mengenainya.
Walaupun sudah lama wujud atau ditemui, tempat-tempat ini kebanyakannya terbiar tanpa penjagaan sewajarnya. Hanya baru beberapa tahun kebelakangan ini saja usaha-usaha untuk memaju atau membangunkan semula kawasan berkenaan mula dilaksanakan.
Kerajaan Jordan sewajarnya mengambil kesempatan daripada meningkatnya jumlah umat Islam dari negara-negara Asia seperti Malaysia, Indonesia, Bangladesh dan Pakistan yang menjadikan Jordan sebagai laluan ke Makkah untuk menunaikan umrah, bagi menarik mereka melancong dan tinggal lebih lama di Jordan.
Selepas empat hari berada di Jordan, kami sudah mengunjungi sebahagian besar daripada tempat-tempat bersejarah, terutama yang berkaitan dengan Islam di negara ini. Ziarah ke makam sahabat Rasulullah dan syuhada sedikit sebanyak menyedarkan kita mengenai pengorbanan mereka dalam menegakkan syiar Islam.
Amman (10/12/2000)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment