Saturday, April 18, 2009

Abu Samir

WALAUPUN sudah 42 tahun meninggalkan bumi Palestin, Abu Samir masih tetap mengikuti setiap perkembangan di sana. Malah, daripada percakapannya, dia seolah-olah baru pulang dari tanah tumpah darahnya itu.
Azamnya untuk pulang semula ke Palestin tidak pernah terkubur, malah dia yakin dapat menjejak semula kakinya di bumi yang ditinggalkan ketika berusia 14 tahun itu, sebelum meninggal dunia.Ketika kami menemuinya di Kem Pelarian Wavell (gambar) dekat Ba'albek di wilayah Beqa'a, Lubnan kelmarin, dia kelihatan uzur tetapi cukup bersemangat ketika menceritakan perjuangan rakyat Palestin mempertahankan negara mereka.
"Kami mahu hidup bebas dan aman. Semua itu hanya boleh diperoleh di tanah air sendiri. Sampai bila kami akan jadi pelarian kerana setiap orang mempunyai negaranya sendiri," katanya sambil menunjukkan kad pengenalan pelarian yang dikeluarkan oleh Kerajaan Lubnan.
Bagaimanapun, Abu Samir atau nama sebenarnya Moustapha Hassan Kassab, 66, mempunyai pendirian sendiri mengenai konsep bernegara iaitu dia sanggup berkongsi negara dengan siapa saja, termasuk orang Israel asalkan mereka diberikan hak yang sama.
Katanya, ini termasuk hak untuk pulang ke negara asal mereka seperti diperoleh orang Yahudi di seluruh dunia yang boleh kembali dan menetap di Israel jika mereka mahu.
"Kami tidak kira nama apa yang diberikan kepada negara itu sama ada Palestin atau Israel kerana yang penting kami dibenarkan pulang dan mendapat hak sama rata, bukan dihalau keluar dan tanah serta harta benda dirampas," katanya.
Beliau berkata, jika orang Palestin dapat hidup bersama dan berkongsi semangat serta perjuangan tanpa mengira mereka Islam atau Kristian, tidak ada sebab orang Yahudi tidak boleh berbuat demikian.
Abu Samir adalah antara 352,660 pelarian Palestin yang berdaftar di kem pelarian di seluruh Lubnan. Jumlah itu diperoleh berdasarkan bancian terakhir yang dijalankan Agensi Bantuan dan Kebajikan Bangsa-bangsa Bersatu (UNRWA) pada 1996.
Bagaimanapun, jika diambil kira jumlah mereka yang berhijrah ke negara lain dan penurunan kadar pertumbuhan penduduk dari 5.5 peratus pada 1980 kepada 3.8 pada 1996, rakyat Palestin di Lubnan kini dianggarkan kira-kira 300,000 orang.
Selain Kem Pelarian Sidon di selatan Lubnan yang mempunyai 75,000 penduduk, beberapa kem besar lain ialah Nahr el Bared dan Beddawi di utara Lubnan yang masing-masing mempunyai 30,000 dan 18,000 penduduk, manakala kem Burj el Barajneh di Beirut mempunyai 18,000 penduduk.
Kem Wavell pula mempunyai kira-kira 4,500 penduduk, Bir Ilyas, Tha'abiya dan Saad Nayl juga dalam wilayah Beqa'a menempatkan 8,000 orang dan Mar Ilyas dekat Beirut seramai 7,000 orang.
Di wilayah selatan, kem Burj el Shemali menempatkan 20,000 pelarian, al Jaya dan Wadi al Zeenah (15,000), Rashidieh (13,000), Jabal al Bahr, Kufr Badat, al Aythaniyeh, al Wasatah dan Birghaliyeh (10,000).
Mengenai kemudahan asas di kem pelarian di Lubnan, pada keseluruhan semuanya mendapat bekalan air dan api. Cuma beberapa kem tertentu bekalan berkenaan dicatu oleh pihak berkuasa tempatan.
Ketika kami mengunjungi kem Waveel, bekalan air di situ sudah lima hari terputus, manakala bekalan elektrik pula hanya dibekalkan 12 jam sehari iaitu mulai jam 4 petang hingga 4 pagi.
"Perkara ini sudah berlarutan sejak beberapa tahun lalu dan ini secara tidak langsung menjejaskan kegiatan di dalam kem, termasuk sekolah dan kegiatan perniagaan," kata Pengerusi Persatuan Penduduk Palestin Wavell, Mahmoud Wakid.
Bagi kemudahan tempat tinggal pula, di kebanyakan kem pelarian pihak UNRWA sudah membina rumah bertingkat bagi menggantikan pondok atau khemah, tetapi jumlahnya belum mencukupi menyebabkan masih ada pelarian tinggal di dalam pondok usang.
Malah di kem Shatila dekat Beirut, pelarian terpaksa tinggal di kawasan pembuangan sampah berhampiran kerana rumah disediakan tidak mencukupi.
Keadaan bertambah buruk berikutan tindakan Kerajaan Lubnan baru-baru ini menyekat kemasukan bahan binaan di beberapa kem pelarian, menyebabkan pembinaan rumah terbengkalai. Kerajaan Lubnan mengambil langkah itu berikutan ada kes pelarian didapati membina rumah di kawasan tanah kerajaan di luar kem.
Secara keseluruhan, penempatan pelarian tidak tersusun kerana selain rumah dibina UNRWA, penduduk Palestin yang mampu turut membina atau membesarkan rumah mereka tanpa mengikut peraturan.
Kebanyakan jalan, terutama dalam kawasan kem pelarian juga tidak dijaga Sehingga berlopak. Ini kerana kerajaan hanya menyediakan jalan pada peringkat awal saja, manakala kerja pemuliharaan terserah kepada penduduk.
Mengenai keadaan sosial, kesukaran mendapat pekerjaan dan taraf pendidikan rendah menyebabkan ramai generasi muda terpaksa menganggur dan hanya berkeliaran di dalam kawasan kem saja.
Bagaimanapun, kadar jenayah agak rendah jika dibandingkan di luar, mungkin disebabkan kebanyakan anak Palestin dididik dari awal lagi supaya mempertahankan hak mereka, khususnya keluarga masing-masing.
Kadar kemiskinan di kalangan pelarian agak tinggi kerana sebahagian besar adalah mangsa perang yang kehilangan sama ada ketua keluarga atau anak lelaki yang dibunuh oleh tentera Israel, warga tua dan yang cacat anggota.
Hakikatnya, warga Palestin di seluruh Lubnan rata-rata tidak mahu lagi jadi pelarian dan ingin pulang ke tanah air mereka. Bagaimanapun, merekatidak banyak pilihan kecuali terpaksa terus menghadapi semua itu jika mahu hidup.

Beirut (18/12/2000)

No comments:

Post a Comment